Jumaat, 18 Januari 2013

PENGEMIS PRO

Seorang peminta sedekah duduk tunduk di sebuah kaki lima, meraih simpati orang yang lalu lalang agar ada yang menghulurkan walau sekeping duit syiling. Itulah rutinnya sejak beberapa tahun. Seorang lelaki separuh usia mendekatinya. Tangannya yang tertadah dihulurkan kepada si peminta sedekah ;" Tolong sedekahkan saya sedikit wang ". Si peminta sedekah agak terkejut.

Ya orang yang meminta itu kelihatan berpakaian kemas. Tiada tanda miskin atau fakir pada wajah dan penampilannya. "maaf, saya ni peminta sedekah. Bagaimana saya boleh memberikan kamu wang kepada kamu. Saya tiada punya apa-apa.."

"Siapa kata kamu tidak punya apa-apa? kamu ada bangku kayu yang kamu sedang duduk itu."

" tapi dari tadi saya meminta sedekah namun belum peroleh apa-apa hasil lagi".

"Begini, saya ada satu petua. Kalau kamu inginkan hasil 'kutipan' yang lebih lumayan, kamu dengar petua saya ini.." kata lelaki itu kepada peminta sedekah. Dia pun membisikkan petuanya kepada si peminta sedekah. Peminta sedekah itun pun mendengar dan mengangguk-angguk tanda faham.

Keesokan hari, pagi-pagi lagi si peminta sedekah sudah duduk di kaki lima itu. Itu pesan pertama lelaki tersebut; perlu keluar awal pagi. Ternyata benar. Hasil mengemis hari itu cukup luar biasa. Hari berikutnya, si peminta sedekah itu menjahit kasut usang miliknya. Ini pesanan kedua lelaki tersebut. Peralatan menjahit turut dibekalkan oleh lelaki itu. Pesannya lagi, perlu menjahit dengan bersungguh-sungguh agar orang yang lalu lalang simpati melihat dia menjahit kasut sendiri kerana tiada wang untuk membeli kasut baru.

Sedang asyik membongkok menjahit kasut, dia disapa : "Ni kasut saya ada koyak sikit, Boleh anda tolong jahitkan?..Si peminta sedekah tergamam. Sekarang dia disangka sebagai penjahit kasut, bukan lagi peminta sedekah. Entah mengapa, apabila dia tidak dianggap peminta sedekah, harga dirinya terasa tinggi. Dia pun mengambil kasut orang itu dan mula menjahitnya dengan tekun. Setelah siap dia menghulurkan kembali kepada orang itu.

"Wah, kemas hasil kerja kamu. Nah, ini upahnya. Bakinya kamu simpan," katanya menghulurkan wang RM10. Kini peminta sedekah itu masih duduk di atas bangku kayunya. Bukan lagi sebagai peminta sedekah, sebaliknya sebagai tukang jahit kasut.

p/s Apabila kita berusaha dan sentiasa berfikiran positif, maka kita akan dapat mengubah diri kita ke arah yang lebih baik..~solusi~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan