Selasa, 19 Februari 2013

Kesederhanaan hidup Nabi Muhammad s.a.w


Rasulullah s.a.w merupakan pelopor gaya hidup sederhana. Padahal jika Baginda mahu, Allah boleh mengubah Bukit Uhud menjadi emas untuknya. Al- Tarmizi meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tuhanku menawarkan untuk menjadikan Batha Makkah menjadi emas untukku. Namun aku berkata: " Tidak wahai Tuhan. Akan tetapi ( aku meminta) lapar satu hari dan kenyang satu hari. Jika aku lapar aku mengingati dan meratap kepada-Mu. Jika aku kenyang, aku memuji dan bersyukur kepada-Mu".

Siti Aisyah r.ha. berkata bahawa alas tidur Rasulullah s.a.w adalah daripada kulit yang diisi dengan serabut (Riwayat al-Bukhari)

Umar bin al-Khattab bercerita : " Aku melihat Rasulullah s.a.w sedang berbaring di atas tikar tanpa sebarang alas. Di bawah kepalanya sebuah bantal daripada kulit yang isinya serabut. Tempat air daripada kulit, tergantung di sisi kepalanya. Aku sempat melihat kesan tikar yang berbekas pada tubuhnya. Aku menangis sedih melihat hal itu. Rasulullah bertanya : " apa yang membuatmu menangis ? " Aku menjawab, Wahai Rasulullah, para kisra dan kaisar hidup mewah. Sementara engkau utusan Allah ( hidup seperti ini?)" baginda bersabda " Tidakkah kamu reda mereka mendapatkan dunia dan kita mendapatkan akhirat?" ( Riwayat al-Bukhari )

Dalam soal makanan, Baginda memakan apa yang ada, tanpa menanyakan sesuatu yang tidak ada. Abu Hurairah berkata, "Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika menyukai makanan itu, Baginda memakannya. Jika tidak, Baginda meninggalkannya" ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Aisyah berkata, " Kadang kala sebulan berlalu namun kami tidak menyalakan api di dapur. Kami hanya makan kurma dan air sahaja. kecuali jika seseorang menghadiahkan sedikit daging kepada kami." ( Riwayat al-Bukhari)

Hidangan yang dimakan Nabi pun hanya diletakkan di lantai tanpa meja makan. Beliau menyuap makanan itu dengan hanya menggunakan tiga jari, tanpa sudu dan garpu. Selesai makan, Baginda membersihkan jari-jarinya dengan menjilat dengan lidahnya sebelum membasuhnya dengan air. Minuman terbaik yang pernah Baginda minum ialah susu atau air kurma yang direndam semalaman agar terasa manis.

Kenderaaan yang Baginda gunakan ialah keldai yang tali kekangnya dibuat daripada serabut. Rumah Baginda pula, sederhana luasnya. Siti Aisyah berkata, "suatu hari aku tidur di hadapan Rasulullah s.a.w, kakiku berada di kiblat Baginda. Jika hendak sujud, Baginda menepuk kakiku maka aku lalu menarik kakiku. Jika beliau berdiri, aku meluruskan kakiku kembali. "Maknanya rumah Nabi s.a.w ssangat sempit. Aisyah juga berkata, "rumah-rumah pada waktu itu belum memiliki lampu ". ( Riwayat al-Bukhari)

Pendek kata, gaya hidup Rasulullah s.a.w amat sederhana dan jauh daripada kemewahan. Kesederhanaan hidup tidak mengurangi kemuliaan Baginda di sisi Allah dan di mata manusia. Sebaliknya, kesederhanaan makin menghiasi dan memperindahkan kebesaran Baginda sebagai seseorang yang tidak diperhamba oleh harta benda keduniaan.






Isnin, 18 Februari 2013

Mengapa kita dihidupkan di dunia ini?




UNTUK SUJUD MENYEMBAH ALLAH...

Firman Allah, maksudnya :

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan demikian itulah agama yang benar". ( Surah al-Bayyinah 5 : 98 )

UNTUK KITA SEBAGAI KHALIFAH DI MUKA BUMI INI...

Firman Allah, maksudnya :

" Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan  setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani." ( Surah al-An'am 6 : 165 )

UNTUK KITA MENYERU KEBAIKAN, MEMBANTERAS KEJAHATAN...

Firman Allah, maksudnya :

" Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru ( berdakwah ) kepada kebajikan ( mengembangkan Islam ) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah ( buruk dan keji ) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." ( Surah Ali' Imran 3 : 104 )

DAN ALLAH TIDAK JADIKAN KITA SIA-SIA..

Firman Allah, maksudnya :

" Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu ( daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?" ( surah al-Mu'minun 23 : 115 )



Sabtu, 9 Februari 2013

aku redha..



Air  mataku gugur sedikit demi sedikit di pipiku
Suasana malam sungguh sepi
Hanya terasa angin lembut meniup
Ya Allah..
Bibirku bisu
Tapi hatiku berkata-kata tanpa henti
Ingatanku juga seolah tidak berhenti-henti membayangkan keadaan diriku
Tapi ku tahu Engkau Maha Mengetahui ya Tuhanku..
Meski berjuta hati yang meneka di luar sana
Tidak akan ada satu peluru tekaan yang akan dapat menembak sasarannya
Sasaran untuk mengetahui erti sebenar duka hati seorang yang sedang diuji
tapi..semua itu tidak pernah mematahkan semangat diri ini
kerana..
Ku tahu Engkau sayang padaku Ya Allah
Tidak sedikit hati ini menyalahkan takdirMu
Tidak sedikit hati ini menjadi api lalu menyala rasa kemarahan
Bahkan hatiku ini akanku jadikan seperti selautan air yang luas tidak pernah kalah akan hadirnya api
Kerana ku tahu dugaan ini tanda sayangMu kepada hambaMu ya Allah..
Kerana Itu aku Redha..
Dan ku juga ingin menyatakan aku sayang dn cinta padaMu ya Allah…