Selasa, 27 Ogos 2013

Menyapu Dahi dan Hidung Sesudah Solat

Daripada Abu Said al-Khidri : "Aku melihat Rasulullah s.a.w sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya". ( Riwayat al-Bukhari).

Kefahaman yang dapat diambil daripada hadis ini ialah :


  • Nabi s.a.w tidak menyapu dahi Baginda semasa solat walaupun dahi Baginda terdapat kesan tanah dan air di dahi Baginda.
  • Nabi s.a.w juga tidak menyapu dahinya selepas solat. Kalaulah terdapat ihtimal selepas solat, maka itu kerana membuang kesan tanah, air dan seumpamanya yang ada di dahi. Biasanya, kini kita sujud dia atas permaidani yang bersih. Maka, keperluan menyapu dahi juga bukanlah daripada perbuatan solat yang mesti dibuat. Sahihnya, Nabi Muhammad s.a.w juga tidak melakukannya. Al-Hafiz ibn Hajar al-Syafi'i pula menyatakan bahawa jika Nabi s.a.w melakukannya pun, maka ia tindakan menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi Baginda. Ia termasuk dalam bab jibliyyah ( perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukannya satu amalan untuk merapatkan diri kepada Allah s.w.t ( Fath al-Bari, jil 2, hlm.416)
Walaupun demikian, menurut ulama mazhab Syafi'i, perbuatan menyapu dahi selepas solat digalakkan berdasarkan hadis berikut : " Apabila Rasulullah s.a.w selesai solat, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanan sambil berdoa yang bermaksud : "Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, jauhkan aku daripada kesakitan dan kedukacitaan." ( Riwayat al-Tabarani).

Satu lagi hujah berkaitan seperti yang terdapat dalam hadis : " Daripada Qatadah, sesungguhnya dia telah menyapu dahinya apabila selesai solat sebelum memberi salam." ( Musannaf Abdul Razzak, jil 2, hlm 42)

Menurut ulama Syafi'i contohnya dalam I'anah al-Talibin, walaupun hadis daif, ia masih digalakkan untuk dilakukan kerana termasuk dalam kategori fada'il al-'amal ( kelebihan-kelebihan amalan). Namun, amalan ini tidak dapat dijumpai dalam kitab muktamad mazhab Syafi'i seperti al-Um, Rawdah al-Talibin, Tuhfah al-Muntaj, Nihayah al-Muhtaj, Mughni al-Muhtaj dan lain-lain.

Justeru, menisbahkan pendapat menyapu muka selepas solat kepada mazhab Syafi'i masih boleh dipertikaikan kerana ia mungkin pendapat peribadi beberapa ulama bermazhab Syafi'i dan bukan pendapat mazhab.

sumber : Formula Solat Sempurna, Ustaz Zaharuddin Abd.Rahman, terbitan Telaga Biru Sdn.Bhd.

Tenanglah Wahai Hati..

Wahai sang hati yang gundah..tenanglah sayang kerana..
Ketenangan itu laksana sebatang sungai di tengah-tengah hutan yang ditemui oleh seorang pengembara yang tersesat di dalamnya. Pengembara tersebut dapat mendengar dengan jelas kelembutan aliran sungai tersebut dan diiringi bunyi unggas yang berada di dalamnya.


Sebagaimana ketenangan menghayati alam semula jadi ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa, hati seorang manusia itu akan berasa tenang apabila dirinya sentiasa mengingati Allah s.w.t.

Seseorang yang menuntut sebuah ketenangan, menjadi seorang yang amat mengambil berat terhadap kualiti hubungannya dengan Allah dalam setiap perkara yang berlaku.

Dia merupakan seorang yang sentiasa berhati-hati dalam memilih jalan makruf atau mungkar dalam hidupnya. Ketenangan hati yang diingininya mendambakan kata-katayang bermanfaat, hanya mendengar perkara kebaikan, mata yang menjauhi daripada melihat kemungkaran dan anggota badan yang sunyi daripada melakukan maksiat.

Alhasil, ketenangan yang dirasai dalam segenap diri dan jiwanya akan menatijahkan kerja dan implikasi yang sempurna dan sudah pasti dia akan berpuas hati dengan jalan benar yang telah diambil untuk mencari sebuah ketenangan hakiki.


Jiwa yang sentiasa berkeluh kesah dan dihurung dengan pelbagai kebimbangan umpama sebuah kolam buatan manusia yang keruh airnya dan dipenuhi dengan sampah sarap.

Kebimbangan yang melampau akan membantutkan semua tugasan. Dirinya bimbang jika tidak dapat menyiapkan suatu kerja dalam tempoh yang diberikan. Hatinya juga bimbang jika dia tidak mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik. Kepalanya bimbang memikirkan apa tanggapan orang lain terhadap hasil tugasannya tersebut. Akibatnya, semua kerja tidak menjadi.

Namun, bimbang yang sewajarnya perlu disertakan dalam setiap perbuatan dan perkataan. Tahap kebimbangan yang wajar ini dapat membawa seseorang agar berfikir dan seterusnya bertindak dengan lebih rasional dalam tugasanya.

Ingatlah...sedikit bimbang membawa kepada hati-hati, terlebih bimbang akan menyebabkan syaitan mengambil peluang untuk membuka lebih luas lagi pintu kebimbangan.

Bukankah Rasulullah s.a.w telah mengajarkan sebuah doa yang sangat mudah untuk menghindari daripada penyakit ini? Baginda bersabda yang bermaksud : " Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada kebimbangan dan kesedihan." ( Riwayat Abu Daud).