Kefahaman yang dapat diambil daripada hadis ini ialah :
- Nabi s.a.w tidak menyapu dahi Baginda semasa solat walaupun dahi Baginda terdapat kesan tanah dan air di dahi Baginda.
- Nabi s.a.w juga tidak menyapu dahinya selepas solat. Kalaulah terdapat ihtimal selepas solat, maka itu kerana membuang kesan tanah, air dan seumpamanya yang ada di dahi. Biasanya, kini kita sujud dia atas permaidani yang bersih. Maka, keperluan menyapu dahi juga bukanlah daripada perbuatan solat yang mesti dibuat. Sahihnya, Nabi Muhammad s.a.w juga tidak melakukannya. Al-Hafiz ibn Hajar al-Syafi'i pula menyatakan bahawa jika Nabi s.a.w melakukannya pun, maka ia tindakan menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi Baginda. Ia termasuk dalam bab jibliyyah ( perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukannya satu amalan untuk merapatkan diri kepada Allah s.w.t ( Fath al-Bari, jil 2, hlm.416)
Walaupun demikian, menurut ulama mazhab Syafi'i, perbuatan menyapu dahi selepas solat digalakkan berdasarkan hadis berikut : " Apabila Rasulullah s.a.w selesai solat, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanan sambil berdoa yang bermaksud : "Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, jauhkan aku daripada kesakitan dan kedukacitaan." ( Riwayat al-Tabarani).
Satu lagi hujah berkaitan seperti yang terdapat dalam hadis : " Daripada Qatadah, sesungguhnya dia telah menyapu dahinya apabila selesai solat sebelum memberi salam." ( Musannaf Abdul Razzak, jil 2, hlm 42)
Menurut ulama Syafi'i contohnya dalam I'anah al-Talibin, walaupun hadis daif, ia masih digalakkan untuk dilakukan kerana termasuk dalam kategori fada'il al-'amal ( kelebihan-kelebihan amalan). Namun, amalan ini tidak dapat dijumpai dalam kitab muktamad mazhab Syafi'i seperti al-Um, Rawdah al-Talibin, Tuhfah al-Muntaj, Nihayah al-Muhtaj, Mughni al-Muhtaj dan lain-lain.
Justeru, menisbahkan pendapat menyapu muka selepas solat kepada mazhab Syafi'i masih boleh dipertikaikan kerana ia mungkin pendapat peribadi beberapa ulama bermazhab Syafi'i dan bukan pendapat mazhab.
sumber : Formula Solat Sempurna, Ustaz Zaharuddin Abd.Rahman, terbitan Telaga Biru Sdn.Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan