Selasa, 27 Ogos 2013

Tenanglah Wahai Hati..

Wahai sang hati yang gundah..tenanglah sayang kerana..
Ketenangan itu laksana sebatang sungai di tengah-tengah hutan yang ditemui oleh seorang pengembara yang tersesat di dalamnya. Pengembara tersebut dapat mendengar dengan jelas kelembutan aliran sungai tersebut dan diiringi bunyi unggas yang berada di dalamnya.


Sebagaimana ketenangan menghayati alam semula jadi ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa, hati seorang manusia itu akan berasa tenang apabila dirinya sentiasa mengingati Allah s.w.t.

Seseorang yang menuntut sebuah ketenangan, menjadi seorang yang amat mengambil berat terhadap kualiti hubungannya dengan Allah dalam setiap perkara yang berlaku.

Dia merupakan seorang yang sentiasa berhati-hati dalam memilih jalan makruf atau mungkar dalam hidupnya. Ketenangan hati yang diingininya mendambakan kata-katayang bermanfaat, hanya mendengar perkara kebaikan, mata yang menjauhi daripada melihat kemungkaran dan anggota badan yang sunyi daripada melakukan maksiat.

Alhasil, ketenangan yang dirasai dalam segenap diri dan jiwanya akan menatijahkan kerja dan implikasi yang sempurna dan sudah pasti dia akan berpuas hati dengan jalan benar yang telah diambil untuk mencari sebuah ketenangan hakiki.


Jiwa yang sentiasa berkeluh kesah dan dihurung dengan pelbagai kebimbangan umpama sebuah kolam buatan manusia yang keruh airnya dan dipenuhi dengan sampah sarap.

Kebimbangan yang melampau akan membantutkan semua tugasan. Dirinya bimbang jika tidak dapat menyiapkan suatu kerja dalam tempoh yang diberikan. Hatinya juga bimbang jika dia tidak mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik. Kepalanya bimbang memikirkan apa tanggapan orang lain terhadap hasil tugasannya tersebut. Akibatnya, semua kerja tidak menjadi.

Namun, bimbang yang sewajarnya perlu disertakan dalam setiap perbuatan dan perkataan. Tahap kebimbangan yang wajar ini dapat membawa seseorang agar berfikir dan seterusnya bertindak dengan lebih rasional dalam tugasanya.

Ingatlah...sedikit bimbang membawa kepada hati-hati, terlebih bimbang akan menyebabkan syaitan mengambil peluang untuk membuka lebih luas lagi pintu kebimbangan.

Bukankah Rasulullah s.a.w telah mengajarkan sebuah doa yang sangat mudah untuk menghindari daripada penyakit ini? Baginda bersabda yang bermaksud : " Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada kebimbangan dan kesedihan." ( Riwayat Abu Daud).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan