Surah Al-Baqarah ayat 246-251…
“Tidakkah
engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail
sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka:
"Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang
(bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah
harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,"
Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah,
sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak
kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka
membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim (246)…..
Dan
Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik
Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat
kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu
daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi
mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja
kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan
kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa
pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya
dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya ( 247)….
Dan Nabi
mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu
(yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut
yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan
(berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi
Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa
kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul
kamu orang-orang yang beriman" (248)…
Kemudian
apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya
Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu
yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak
merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang
menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian)
mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian
kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman
menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya):
"Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya".
Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah:
"Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya
menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa)
bersama-sama orang-orang yang sabar" ( 249)…
Dan
apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka
berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami,
dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang
kafir" ( 250)…
Oleh
sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi
Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu)
Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat
kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak
menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain
(yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah
sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam ( 251)…..
Antara kisah yang diceritakan dalam al-Quran dan menarik
untuk direnungi ketika umat islam berada dalam keadaan yang sangat lemah, iaitu
kisah yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 246 hingga 251.
Kisah ini berkisar selepas zaman Nabi Musa a.s apabila Bani
Israel meminta Nabi Samuel a.s mengangkat seorang raja untuk memimpin mereka
bagi menghadapi kezaliman bangsa Balthatha yang dipimpin oleh raja Jalut.
Mereka merayu seperti yang dinyatakan oleh Allah s.w.t,
maksudnya : “Lantiklah seorang raja untuk
kami, supaya kami boleh berperang di jalan Allah.” Nabi Samuel a.s menjawab
: “ Jangan-jangan jika diwajibkan
berperang atasmu, kamu tidak akan berperang juga.”
Mereka berkata : “ Mengapa
pula kami tidak akan berperang di jalan Allah, sedangkan kami telah diusir dari
kampung halaman kami dan dipisahkan daripada anak-anak kami?”.
Namun, ketika peperangan itu diwajibkan atas mereka, mereka
berpaling kecuali sebahagian yang kecil daripada mereka. Benarlah anggapan nabi
mereka. Kemudian , Nabi Samuel a.s memberitahu mereka bahawa Allah telah
mengangkat Talut menjadi raja mereka.
Ketetapan Allah s.w.t itu telah dibangkang sepenuhnya oleh
mereka dengan mengemukakan alasan dalam ayat berikutnya yang bermaksud : “ Bagaimana Talut memperoleh kuasa memerintah
kami, sedangkan kami lebih berhak atas kerajaan itu daripadanya, dan dia pula
tidak diberikan kekayaan yang banyak?”
Ini disebabkan oleh Talut bukan berasal daripada keluarga
kenamaan yang telah melahirkan para nabi yang ramai sebelum itu. Talut berasal
daripada Bunyamin bin Ya’qub a.s bukannya anak-anak nabi Ya’qub a.s yang lain
yang telah melahirkan nabi-nabi bani Israel yang lain.
Namun demikian, Nabi Samuel tetap mempertahankan wahyu itu
dengan mengatakan : “ Allah telah
memilihnya menjadi raja kamu dan memberikan kelebihan ilmu dan kegagahan tubuh
badan. Allah memberikan kerajaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehenadaki dan
Allah Maha Luas, lagi Maha Mengetahui.”
Ketika Talut memimpin bani Israel untuk menentang tentera
Jalut, dia berkata : “ Allah akan menguji
kamu dengan sebatang sungai. Maka sesiapa antara kamu yang meminum airnya, dia
bukanlah pengikutku kecuali mereka yang mencedok secedok dengan tangan”.
Namun ternyata bangsa yang terkenal menganiaya para nabi yang
diutuskan oleh Allah s.w.t kepada mereka buat kesekian kalinya telah
mengutamakan hawa nafsu mereka mengatasi segalanya. Ramai daripada tentera
Talut mengingkari arahan tersebut. Hanya sebilangan kecil sahaja yang menurut
perintah ketua mereka itu.
Setelah itu, mereka meneruskan perjalanan. Semasa Talut dan
orang yang beriman bersama menyeberangi sungai itu, mereka berkata, “Kita tidak akan mampu melawan Jalut dan bala
tenteranya pada hari ini.”
Namun sebahgian yang beriman dan menyakini bantuan Allah dan
pertemuan dengan-Nya berkata.: “ betapa
kerap kelompok kecil mengalahkan kelompok yang besar dengan izin Allah. Dan Allah
bersama orang yang sabar.”
Maka , gugurlah sebahagian mereka daripada senarai tentera
yang menyertai Talut. Sebahagian yang lain berjaya melepasi ujian-ujian Allah. Mereka
sangat kuat dan bersemangat. Mereka tidak seperti orang yang lemah iman, yang
telah terkeluar daripada kemuliaan jihad sebelum sempat berhadapan dengan
tentera Jalut.
Allah S.W.T telah menggambarkan kesungguhan munajat mereka
sebelum berlaku pertempuran dalam ayat berikutnya yang bermaksud : “ Wahai Tuhan kami, limpahkan kesabaran kepada
kami, kukuhkan langkah kami dan tolonglah kami menghadapi orang kafir.”
Maka dengan izin Allah, mereka berjaya menewaskan Jalut dan
bala tenteranya . Paling mengejutkan, penglibatan seorang budak lelaki yang
masih kecil bernama Daud telah menjadi hero membunuh Jalut dalam peperangan
tersebut.
Kehebatan Daud ini dinyatakan
oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya menerusi ayat ke-251 yang bermaksud : “ Lalu mereka telah mengalahkan Jalut serta
bala tenteranya dan Daud telah membunuh Jalut, lalu Allah s.w.t telah
memberikan kepadanya kerajaan dan kenabian seta diajarkan apa yang
dikehendaki-Nya”.
Walaupun bilangan yang sedikit, namun dengan iman yang kuat,
semangat yang tidak pernah pudar dan keyakinannya terhadap bantuan Allah,
mereka berjaya menghacurkan Jalut serta memenangi peperangan itu.
Sebagai renungan buat kita, ujian akan sentiasa berlaku dalam
kehidupan. Ia bertujuan mendidik dan mentarbiah diri kita. Betapa benar firman
Allah yang mengingatkan kita, mafhumnya : “Mungkin kamu menyukai sesuatu
perkara, sedangkan ia buruk untuk kamu atau mungin kamu membenci sesuatu
perkara, tetapi ia baik untuk kamu. Allah jua Yang Mengetahui, sedangkan kamu
tidak mengetahui.”
Kemenangan dengan izin Allah*solusi*